Sunday, February 19, 2006

Al-Banna dan Ikhwan

Hasan al-Banna dan Ikhwanul Muslimun (Jama’ah Ikhawanul muslimin)

Al-Banna sebagai pengasas pergerakan (parti):

Al-Imam Hasan Ahmad Abdur-Rahman as-Sa’ati (al-Banna) dilahirkan di kampung Syamsyirah dekat al-Mahmudiyyah dalam wilayah al-Buhairah, Mesir pada tahun 1906. Beliau menerima pendidikan awal dari ayahnya, seorang alim di dalam empat mazhab yang bermazhab Hanafi, walaupun pengikut mazhab itu hanya 2% di Mesir. Sebagai seorang yang sedang membesar, beliau mengikut cara hidup ayahnya yang ketika itu seorang pengikut kepada tarikat sufi al-Hasofiyyah, ini adalah perkara biasa, seorang kanak-kanak mengikut ayahnya (bagi menolak sesetengah pendapat yang mengaitkan al-Banna dengan tarikat itu). Selepas menimba pengetahuan yang cukup tinggi dari ayahnya, al-Banna kemudiannya meneruskan pembelajaran ke peringkat thanawi di Damanhour.

Al-Imam menamatkan pengajian thanawi di Damanhour di usia yang agak muda, oleh itu, beliau bertekad melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti di Kaherah, menerusi Kuliyyah Darul Ulum al-Banna mempelajari ilmu bahasa Arab yang sememangnya sinonim dengan Darul Ulum. Di Kaherah, beliau menerima suatu kejutan yang sebelumnya tidak pernah berbuah difikiran. Mesir yang telah lama berada di bawah jajahan Britain dan Perancis sedang menerima suatu perubahan politik dan social, di sana, al-Imam mendapati perkara-perkara yang berbagai-bagai, antaranya: kewujudan pihak British, pihak Perancis yang berleluasa, kewujudan fasad dan keruntuhan moral penduduk Kaherah yang terkesan dengan penjajahan, dan perkara yang banyak sehingga beliau mendapati Universiti al-Azhar dalam ‘tidur yang nyeyak’. Al-Azhar tidak lagi memainkan peranannya sebagai institusi yang membela keilmuan dan syariah Islam. Di sana juga, beliau mendapati parti-parti politik yang berbagai-bagai, antaranya: Parti Wafd, Dusturiyyinal-Ahrar, al-Ummah, as-Sya’b, al-Watani dan sebagainya.

Dalam tempoh pengajian beliau di Darul Ulum, beliau sering pergi ke satu-satunya masjid berasaskan fikrah Salafi di Kaherah ketika itu, di sana, beliau berkesempatan menemui dua orang syeikh sekali gus menimba ilmu dari mereka, secara tidak langsung syeikh Muhammad Rasyid Ridha dan Muhibud-Deen al-Khateebi menjadi guru beliau. Dan oleh sebab ilmu pengetahuan beliau dalam bahasa Arab dan agama Islam agak tinggi, menyebabkan beliau dilantik menjadi khatib dan imam di masjid tersebut di kala kesibukan atau ketidak hadiran Rashid Ridha dan Muhibbud-Deen. Al-Imam as-Syahid telah menamatkan pengajian beliau di Darul Ulum pada tahun 1927 dengan keputusan terbaik.

Dengan tamatnya pengajian di Kuliyyah Darul Ulum, bermulalah kehidupan baru bagi al-Banna sekali gus menjadi detik bersejarah kepada umat Islam setelah mana kesedihan yang menimpa umat Islam dengan kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah atas tangan Kamal Attaturk empat tahun sebelumnya. Pada tahun tersebut, al-Banna dihantar ke bandar Ismailiyyah sebagai guru di Madrasah Ibtidaiyyah Madinah al-Ismailiyyah. Ismailiyyah terletak atas terusan Suez (ia di buka pada kurun ke-18 oleh pemerintah Perancis Napoleon Bonaparte yang telah mengorbankan puluhan ribu rakyat Mesir, namun tiada hak asasi manusia diperkatakan), bandar itu dinamakan Ismailiyyah sebagai jasa ke atas Ismail Pasha yang memerintah mesir, sebenarnya Alkhedewi Ismail telah menjual sejumlah besar terusan Suez kepada pihak British (Perdana Menteri Britain, Benjamin Disraeli, satu-satunya berketurunan Yahudi) kerana kemelut hutang yang melanda negara itu pada tahun 1875. Di riwayatkan bahawa, Ismailiyyah ketika itu, tidak mempunyai sebuah masjid, walaupun Mesir terkenal dengan destinasi pengajian Islam. Oleh yang demikian, al-Imam memulakan pergerakan dakwahnya melalui kedai-kedai kopi, pasar-pasar dan kelab-kelab. Dari sini, sebuah pergerakan yang sangat masyhur di dunia Islam dan bukan Islam telah bermula.

Jika dilihat pada latar belakang al-Banna, maka sesetengah orang akan terfikir, apakah fikrah yang dipegang oleh beliau, ingin saya tegaskan di sini bahawa inilah ciri-ciri seorang pendakwah yang perlu dititik beratkan oleh setiap yang ingin melalui jalan perjuangan sebagai seorang daei’. Al-syahid Hasan dibesarkan oleh ayahnya yang cenderung kepada tarikat sufi, mazhab beliau adalah Hanafi, suasana keliling dan pembelajaran adalah bermazhab Shafei’, dididikan remajanya dibina oleh dua orang syeikh salafi yang terkenal di Mesir, namun, beliau tidak cenderung untuk berpihak kepada mana-mana pihak, selagi mana akidah pergerakan dan mazhab adalah betul, itulah jalan yag beliau ikuti. Dengan ini, adalah tidak betul tanggapan mereka yang mengatakan bahawa al-Banna lebih cenderung kepada sesetengah golongan. Sebagai seorang pendakwah beliau telah mengimbangi kemaslahatan umat secara bijaksana.

Ikhwanul Muslimin: Permulaan kepada perubahan cara Islam

Setelah ditentukan sebagai guru (mua’llim) di Ismailiyyah, al-Banna telah memulakan operasi da’wahnya di waktu petang, selepas selesai mengajar di madrasah di pagi hari. Oleh sebab ketiadaan masjid, beliau memulakan da’wahnya di tempat-tempat awam, antaranya kelab malam. Perkara yang diperkatakan pada permulaan adalah berkenaan pekerjaan seharian dan amalan asas dalam Islam.

Pada tahun 1928, ramai di kalangan penduduk bandar tertarik kepada seruan beliau dan juga kecerdikan beliau mengatasi masalah-masalah yang dihadapi mereka, dan ketika itu, al-Syahid telah mempunyai enam orang kawan yang sangat setia yang bekerja. Untuk kesan yang lebih baik dan perjalanan yang lebih teratur, beliau dan enam kawan telah berkumpul dan bersepakat untuk menamakan pergerakan atau kumpulan mereka. Kata sepakat untuk nama Ikhwanul Muslimun telah diberikan atas sebab persaudaraan (ukhuwwah, ikhwan) yang telah mereka jalinkan demi da’wah di jalan Allah. Bermula dari saat ini, Ikhwan telah menjadi satu pergerakan yang berorganisasi, yang akhirnya menjadi sebuah parti induk kepada parti-parti Islam di seluruh dunia. Antaranya: Ikhwanul Muslimun (Iraq), Ikhwanul Muslimun (Jordan), Ikhwanul Muslimun (Syria), Jabhah al-Qaumiyyah al-Islamiyyah (Sudan), Hamas (Palestin), FIS (Aljeria), AKP (Turki), Jamaat-e-Islami (Pakistan), PAS (Malaysia), PKS (Indonesia) dan kebanyakan parti Islam yang menerajui politik umat Islam. Ikhwan mementingkan tarbiyyah ke atas pengikutnya serta masyarakat yang didakwah lebih dari segala cabang yang lain.

Sebab-sebab sebenar penubuhan gerakan ini adalah kerana situasi dan keadaan yang berbagai-bagai, antaranya adalah: yang paling utama, kerana penjajahan Britain ke atas Mesir (ia memerintah Mesir dari tahun 1887 sehingga tahun 1952). Sebab yang kedua; kebanyakan ilmuan mengatakannya yang pertama, adalah kerana kejatuhan khilafah Islam Uthmaniyyah 1924. Antaranya lagi, kerana munculnya sebilangan ulama yang menyeru kepada fahaman sekular yang memisahkan agama dari hukum negara. Dengan penekanan kepada unsur-unsur ini, Ikhwan menjadi sebuah pergerakan yang amat kuat, sehingga menjadi satu-satunya pergerakan yang membuatkan pihak British rasa tergugat.
Sebagai satu kaedah bagi menentang kemunculan para ulamaus-su’ yang melaungkan semangat sekular di kalangan rakyat Mesir, al-Banna dengan slogan “Syumuliyyatul Islam” telah melakukan kebangkitan baru dalam dunia politik umat Islam. Namun, kerana penjajahan Barat atas dunia Islam bukan saja telah mengikat ekonomi negara-negara mereka, tetapi juga, telah mempengaruhi pemikiran golongan penentang agama Islam dari kalangan pemimpin negara-negara Islam, sehingga menyaksikan pelbagai jalan telah dilakukan oleh golongan tersebut supaya kebangkitan umat Islam dapat disekat. Termasuk penipuan proses demokrasi dan pilihan raya, penguasaan ke atas media, sekatan ekonomi sehingga penyiksaan dan pembunuhan ke atas aktivis-aktivis Islam seluruh dunia.


Maklumat dikumpul dari seorang pakar sejarah Islam dan Timur Tengah, yang juga seorang pemimpin Ikhwan Iraq.

No comments:

Post a Comment